e-Jurnal PENYELIDIKAN DAN INOVASI merupakan e-Jurnal yang diterbitkan oleh Pusat Pembangunan Penyelidikan (PPP), KUIS. Skop dan isu yang dibincangkan adalah berkaitan dengan penyelidikan dan inovasi yang merangkumi pelbagai aspek penyelidikan seperti pendidikan, sejarah dan falsafah, adab, pemikiran, kepimpinan dan ketokohan, pentadbiran, bahasa, dakwah, politik, media massa, ekonomi, pengurusan, sains dan teknologi, perubatan, serta alam sekitar.
e-Jurnal ini memuatkan pelbagai artikel dalam penyelidikan dan kegiatan ilmiah yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu menggunakan medium bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
Pendapat yang disiarkan dalam artikel tidak menggambarkan pendapat penyunting.Keutamaan diberikan kepada artikel yang memenuhi skop utama e-Jurnal dan memberi sumbangan dapatan penyelidikan kepada ummah. Artikel yang dihantar merupakan sumbangan asli dan tidak pernah diterbitkan atau sedang dipertimbangkan untuk penerbitan oleh mana-mana e-Jurnal. Penerbitan e-Jurnal ini diharap menjadi medium rujukan dan penyebaran ilmu pengetahuan seterusnya bermanfaat kepada ummah.
Segala surat- menyurat berkaitan artikel hendaklah dialamatkan kepada:
Ketua Editor
E-JURNAL PENYELIDIKAN DAN INOVASI
Pusat Pembangunan Penyelidikan (PPP)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS),
Bandar Seri Putra, 43000 Kajang, Selangor, MALAYSIA
e-mel : ppp@kuis.edu.my
Tel : +03-8925 4251
Kandungan e-Jurnal PI, Jilid I, Isu I
- GAYA BERFIKIR QUR’ĀNĪ DALAM PEMBENTUKAN INSAN TA’DĪBĪ
Wan Haslan Bin Khairuddin
Akademi Islam (AI), KUIS
Papar Abstrak
Gaya, teknik, kaedah atau cara berfikir mempengaruhi tindakan dan menatijahkan perilaku yang baik atau buruk. Pelbagai masalah umat atau kebobrokan dikesan hasil dari kelemahan daya berfikir. Artikel ini akan membicarakan isu-isu perbincangan seperti “gaya berfikir Qur’ānī” atau gaya berfikir menurut al-Qur’an; “gaya berfikir jāhilī” atau
gaya berfikir negatif; dan “gaya berfikir insan ta’dībī” atau gaya berfikir insan cemerlang yang diidamkan. Metodologi yang diguna pakai dalam kajian ini ialah kajian analisis kandungan. Sumber primer yang menjadi asas dalam artikel ini ialah penulisan berkaitan teknik berfikir, pemikiran kreatif dan kritis serta penulisan-penulisan lain yang berkaitan.
Kesimpulannya, artikel ini merumuskan bahawa perlunya penerapan mata pelajaran “pemikiran kreatif dan kritis” untuk para pelajar di setiap fakulti pengajian (bukan di fakulti pengajian Islam sahaja) kerana ia mampu mendorong mereka untuk menguji kebenaran sesuatu permasalahan agar tidak membentuk keputusan yang salah. Seterusnya para pelajar berkeupayaan memproses maklumat dan bakal menghasilkan pemikiran atau penemuan yang baru, asli dan kreatif.
- RADIO NEGERI fm PEMANFAATAN RADIO SEBAGAI MEDIUM PENDIDIKAN ISLAM TIDAK FORMAL
Rozalafri Johori, Mohd Daly Daud, Nursyamimi Harun, Rahmatunnisah Hj Sailin.
Fakulti Pengurusan Muamalah (FPM), KUIS
Papar Abstrak
Secara khususnya kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji peranan radio sebagai medium pendidikan Islam bukan formal. Radio merupakan media elektronik yang berpengaruh dan fleksibel kerana ia berupaya mendidik, membujuk, menghibur dan menyampaikan makumat. Ia mempunyai khalayak pendengar yang ramai dan merupakan antara media pilihan, terutama di Negeri Sembilan menerusi siaran radio tempatan – Radio NEGERIfm. Walau bagaimanapun, program bermanfaat yang berbentuk pendidikan Islam masih kurang dari segi kuantiti dan kualitinya, sedangkan kajian mendapati bahawa sambutan kepada rancangan agama sangat memberangsangkan. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif, iaitu sebanyak 700 borang soal selidik telah diedarkan kepada pendengar Radio NEGERI.fm di seluruh Negeri Sembilan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 506 borang selidik telah dikembalikan oleh responden. Hasil analisis kajian mendapati bahawa pendengar yang menggunakan radio untuk mempelajari Islam secara bukan formal berada pada tahap sederhana tinggi. Beberapa cadangan telah dikemukakan untuk mempertingkat kualiti kandungan siaran agar lebih bermanfaat dan mempunyai nilai ilmiah. Misalnya, dicadangkan agar sesi wawancara bersama tokoh-tokoh akademik dan budayawan tempatan terus dipergiat.
- KEMUNASABAHAN PUSAT PENGAJIAN TERAS DALAM MEREALISASIKAN JIHAD PENDIDIKAN
Hairol Anuar Hj Mak Din, Intan Fadzliana Ahmad, Mohamed Fairooz Bin Mohamed Fatihillah
Pusat Pengajian Teras(PPT), KUIS
Papar Abstrak
Pusat Pengajian Umum yang ditubuhkan oleh sebahagian besar universiti menawarkan subjek-subjek yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, iaitu subjek yang menjadi subjek wajib universiti, dan subjek-subjek yang berbentuk elektif. Jika di Pusat Pengajian Umum universiti-universiti lain, kesemua subjek yang ditawarkan ini dianggap sebagai pelengkap kepada landskap akademik fakulti semata-mata dan sekadar memenuhi piawaian yang telah
ditetapkan oleh pihak yang berkepentingan sahaja. Berbeza dengan KUIS, matlamat utama penubuhan Pusat Pengajian Teras bukan semata-mata hanya untuk menjadi pelengkap atau pengendali subjek-subjek wajib MQA dan wajib universiti, tetapi lebih dari itu adalah untuk menjadi ‘teras’ KUIS sebagai universiti yang berhasrat merealisasikan pentafsiran adab melalui pendidikan dan dihayati dalam kehidupan sebagai insan beradab (insan ta’dibi). Hal ini seiring dengan Dasar Ta’dib KUIS melalui subjek-subjek teras universiti yang telah dibangunkan. Kertas ini membincangkan peranan dan kemunasabahan penubuhan Pusat Pengajian Teras sebagai tulang belakang kerangka pengajian pelajar di KUIS. Kewajaran penubuhannya adalah berasaskan justifikasi-justifikasi yang turut dinyatakan dalam perbincangan ini. Maklumat di dalam kertas ini adalah berasaskan pengalaman penulis sebagai seorang pentadbir, penyelidik, guru dan murid di institusi pengajian tinggi Islam. Pusat Pengajian Teras mempunyai peranan yang berbeza dari pusat pengajian umum yang hanya berperanan sebagai pelengkap kepada program pengajian pelajar. Pusat pengajian teras berperanan membentuk pandangan alam (worldview) pelajar yang merupakan ‘teras’ terpenting dalam meneruskan kelangsungan pengajian pelajar dalam bidang pengajian yang pelbagai. Pembentukan diri pelajar yang bermula dari peneguhan kekuatan ‘dalaman’ (inner strength) menjadi fokus utama sebuah pusat yang
dipertanggungjawabkan menjadi ‘teras’ dan nadi sebuah institusi pendidikan. Kertas ini dinukilkan bagi menjelaskan kekeliruan makna terhadap peranan Pusat Pengajian Teras dalam memacu KUIS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang melahirkan insan ta’dibi.
- POTENSI QALBU DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN KAJIAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Nazneen Ismail, Nurzatil Ismah Azizan, Norul Huda Abu Bakar
Akademi Islam (AI), KUIS
Papar Abstrak
Qalbu adalah komponen kejiwaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada manusia. Ia berperanan sebagai penentu kepada tingkah laku insan seperti yang digambarkan oleh hadis Rasulullah SAW. Bahkan, baginda menyifatkan buruk baik seseorang adalah bergantung kepada keputusan qalbunya. Justeru, kertas kerja ini bertujuan untuk mengupas peranan qalbu dalam membuat keputusan daripada perspektif Islam. Antara perbahasan utama kajian ini ialah konsep qalbu dan peranannya dalam diri manusia berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan unsur-unsur yang mempengaruhi qalbu dalam membuat keputusan. Analisis dibuat berdasarkan ayat al-Quran dan hadis terpilih di samping pandangan daripada ahli falsafah. Kajian ini juga menemukan bahawa qalbu tidak bersendirian dalam membuat satu-satu keputusan. Sebaliknya, ia telah dibekalkan dengan dhamir atau suara hati yang mempunyai ciri fitrah tauhid selain mendapat sokongan daripada nafsu dan akal. Pertarungan kejiwaan ini akhirnya menentukan sama ada manusia itu mengesakan Allah SWT atau mensyirikkan Nya.
- JIHAD PENDIDIKAN SATU SOROTAN KEPADA AUTOBIOGRAFI AL-GHAZĀLĪ (1058M-1111M) AL-MUNQIDH MIN AL-ḌALĀL
Kamal Azmi Abd Rahman
Akademi Islam (AI), KUIS
Papar Abstrak
Al-Ghazālī merupakan seorang cendiakawan Islam yang hidup di era kegemilangan Islam. Sebaris dengan tokoh-tokoh ilmuan yang lahir di era emas ini, al-Ghazālī telah menguasai pelbagai disiplin dan cabang ilmu seperti ilmu kalam, falsafah dan taṣawwuf. Sebagai seorang penulis yang prolifik, beliau telah menulis hampir 400 buah karya dalam pelbagai bidang. Oleh kerana ketokohan dan keilmuan tersebut, kajian mengambil inisiatif untuk membentangkan pengalaman keilmuan beliau yang telah dinukilkan di dalam sebuah autobiografi unik bertajuk al-Munqidh min al-Ḍalāl. Kajian ini merupakan kajian kepustakaan analisis kandungan terhadap autobiografi tersebut dan beberapa karya-karya lain yang ditulis oleh al-Ghazālī. Selain itu, kajiankajian lain yang mengkaji pemikiran al-Ghazālī juga akan dirujuk. Kajian mendapati bahawa al-Munqidh merupakan sebuah tulisan yang signifikan bagi golongan pendidik dalam memahami tujuan profesion mereka serta panduan dalam mengahadapi cabaran-cabaran dalam dunia pendidikan.
- KEPENTINGAN QALBU DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN
Daud Lin Abdullah, Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah, Nor’Adha Abd Hamid, Siti Noor Binti Ahmad, Intan Fadzliana Ahmad, Khairunnisa’ Ismail, Suziana Hanini Sulaiman, Ahmad Misbah Mohamad Hilmi, Imran Kamal Basah
KUIS
Papar Abstrak
Otak dan qalbu adalah antara nikmat dan anugerah Allah SWT kepada setiap manusia bernama insan. Seringkali kurniaan ini dianggap sama namun hakikatnya, otak dan qalbu adalah sesuatu yang amat jauh berbeza tetapi saling berkaitan. Otak adalah salah satu organ ciptaan Allah SWT yang bersifat objek dan kelihatan. Qalbu mempunyai tugas dan tanggungjawab besar yang masih tidak dapat difahami oleh para saintis sehingga hari ini. Allah SWT telah menjelaskan hakikat sebenar Qalbu berhubung dengan pemikiran dan pemahaman yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan fungsi otak melalui Al-Quran. Kertas kerja ini bertujuan untuk menjelaskan bahawa Qalbu bukanlah sekadar organ atau mesin mengepam darah, tetapi berperanan menyimpan maklumat, memahami, menyakini dan mengagihkan arahan ke seluruh tubuh manusia, dan ia juga mengawal aktiviti otak di samping mengetengahkan kemahiran berfikir yang berkait rapat dengan kebolehan seseorang insan menggunakan kedua-dua domain kognitif(otak) dan afektif(qalbu) dalam usaha untuk mendapatkan atau memberikan informasi, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan. Kebiasaannya, dalam membuat keputusan kita bergantung kepada kebijaksanaan otak (aqal). Kesilap fahaman telah berlaku sejak sekian lama yang menganggap bahawa makna Qalbu adalah hati yang perlu kepada perbahasan dan pemahaman yang lebih terperinci untuk penjelasan selanjutnya.
- TADBIR URUS KORPORAT LAWAN TADBIR URUS INSAN KEKELIRUAN PERANAN PENTADBIR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI ISLAM TERHADAP PERANAN UNIVERSITI
Intan Fadzliana Ahmad , Mohd Izham Mohd Hamzah
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Universiti Kebangsaan Malaysia
Papar Abstrak
Peranan universiti masa kini tidak lagi untuk melahirkan insan yang baik (good man) sebaliknya telah menjadi ‘kilang’ pengeluaran ‘sumber manusia’ bagi memenuhi keperluan industri. Universiti telah lama turun dari ‘gadingnya’ lalu menjadi lebih kepenggunaan atau utilitarian. Kertas ini bertujuan membincangkan stail kepimpinan dan perkaitannya dengan kefahaman pemimpin institusi pengajian tinggi terhadap peranan universiti. Kepimpinan korporat para pemimpin di institusi pengajian tinggi, menjadikan universiti sebagai pembekal tenaga kerja secara mass (mass generic product) bagi pasaran industri dengan orientasi keuntungan bersifat material. Fokus universiti bukan lagi kepada peningkatan kualiti pelajar sebaliknya kuantiti kemasukan pelajar bagi meraih keuntungan maksima dan pelajar sebagai pelanggan. Kerangka pentadbiran adalah berasaskan code and conduct serta limitasi ‘garis panduan’ yang telah ditentukan lebih awal (SOP,KPI etc). Berbeza dengan kepimpinan insan yang meletakkan kepentingan dan kualiti dalaman insan dalam seluruh peringkat organisasi, dari kakitangan akademik, pentadbiran hinggalah kepada pelajar sebagai fokus utama (human centric). Orientasi universiti adalah untuk melahirkan insan beradab (insan ta’dibi) yang mempunyai kekuatan spiritual dan kualiti dalaman serta pertimbangan (judgement) yang baik. Kerangka pentadbiran kepimpinan insan adalah berasaskan potensi insan sebagai individu yang unik berteraskan nilai dalaman insan (internal human values) dan prinsip-prinsip pegangan yang lebih berkesan dalam mengawal organisasi. Maklumat di dalam kertas ini adalah berasaskan kepada kajian kepustakaan (literature review) serta pengalaman penulis sebagai seorang penyelidik, guru dan murid. Universiti tidak seharusnya meletakkan keuntungan material (pingat, status, wang, ranking) sebagai fokus utama. Kertas ini mengemukakan pandangan awal terhadap keperluan kajian lanjutan yang lebih mendalam di bidang pentadbiran pendidikan berkaitan kefahaman peranan dan tujuan universiti dalam kalangan pentadbir di institusi pengajian tinggi. Pemimpin di institusi pengajian tinggi Islam seharusnya memahami dengan jelas tentang makna dan peranan universiti yang sebenar agar dapat mengaplikasikan tadbir urus insan dalam mentadbir institusi pendidikan. Kertas ini membincangkan tentang kekeliruan pentadbir universiti, antara melaksanakan stail tadbir urus korporat atau tadbir urus insan dalam mengendalikan sebuah institusi pengajian tinggi.