
Jurnal HADIS, Bilangan 3
Syaaban 1433H, (Julai 2012)
Artikel-Artikel Berorientasikan Kajian dan Penyelidikan Dalam Bidang Hadis
Diterbitkan Oleh
Institut Kajian Hadis (INHAD)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
KANDUNGAN
1.KONSEP AL-TASFIYAH DALAM AKIDAH BERDASARKAN SUNNAH NABAWIYAH
Sakinah Saptu, Dr. Azwira Abd Aziz
Papar Abstrak
Kajian dijalankan bagi memperkenalkan konsep al-Tasfiyah dan menunjukkan bahawa ia adalah manhaj para Nabi dalam berdakwah dan bukan ideologi yang dibawa oleh mana-mana pihak atau gerakan. Dari sudut yang lain pula, ia bertujuan untuk memurnikan kefahaman dan akidah masyarakat Islam. Untuk mencapai tujuan tersebut, kajian yang hanya memfokuskan kepada al-Tasfiyah akidah ini dilakukan menggunakan rekabentuk kajian kualitatif dengan pendekatan analisis dokumen. Manakala metode pentakhrijan hadisnya pula dilakukan menerusi sistem hadis berkomputer dan tradisi. Kajian penulis terhadap hadis Nabi s.a.w telah mengumpulkan sebanyak 48 buah hadis yang menunjukkan wujudnya pemanifestasian konsep al-Tasfiyah dalam Sunnah Nabawiyah. Penting untuk dinyatakan bahawa jumlah itu bukan menggambarkan keseluruhan hadis berkaitan pemanifestasian al-Tasfiyah tetapi lebih kepada sekadar untuk membuktikan kewujudannya dalam hadis Nabi s.a.w. Melalui kajian dan pengumpulan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa konsep al-Tasfiyah layak dikategorikan sebagai epistemologi Islam lantaran ia terkandung dalam al-Qur’an dan hadis Nabi s.a.w. Kajian juga memperlihatkan bahawa ia bukan satu ideologi mahupun teori yang dibangunkan oleh mana-mana tokoh untuk menyokong perjuangan mereka dalam mengislahkan masyarakat Islam. Di samping itu, ia juga menunjukkan bahawa hadis Nabi s.a.w terlebih dahulu telah memanifestasikan konsep al-Tasfiyah dalam usaha mendidik manusia ke arah jati diri Muslim yang sebenar.
2.WACANA HADIS DALAM TRADISI KEILMUAN ZAYDIYYAH
Mohd. Khafidz Soroni
Papar Abstrak
Pendedahan yang amat minima berkaitan golongan Zaydiyyah menyebabkan ramai kalangan Ahlus Sunnah menyangka bahawa tradisi keilmuan Zaydiyyah adalah sama serupa sepertimana mazhab-mazhab Syiah yang lainnya dan hampir tidak ada beza. Tulisan ini akan cuba mengupas sejauhmana kebenaran andaian tersebut, dengan fokus khusus terhadap disiplin hadis dan perkembangannya dalam mazhab Zaydiyyah. Penulis juga membincangkan apakah sumber-sumber hadis yang diguna pakai oleh mereka, dan apakah sumber-sumber mereka dapat dimanfaatkan oleh golongan Ahlus Sunnah, ataupun tidak dapat diterima sepenuhnya?
3.KONSEP DAN SYARAT TERJEMAHAN HADITH
Khairul Amin Mohd Zain, Mohd Norzi bin Nasir
Papar Abstrak
Di Malaysia khasnya, gerakan penterjemahan hadith telah lama bermula sejak zaman Syeikh Daud al-Fathani dan zaman Syeikh al-Marbawi lagi. Namun, terjemahan tersebut masih lagi belum memadai, tambahan pula perkembangan bahasa senantiasa berubah menurut perubahan semasa dan kepelrluan masyarakat terhadap hadith makin teserlah kerana adanya kesedaran agama yang kian bertambah. Menerusi kaedah analisis kandungan dokumen daripada pelbagai sumber primer dan sekunder yang berautoriti, kajian ini membincangkan konsep, syarat, dan cadangan dalam menghasilkan terjemahan hadith yang bermutu. Hasil kajian mendapati walaupun dewasa ini kesemua hadith telah berjaya direkodkan, boleh didapati didalam kitab-kitab hadith dengan mudah, akan tetapi masih lagi terdapat golongan yang tidak bernasib baik kerana tidak mampu membaca dan memahami hadith-hadith tersebut. Ini kerana mereka tidak berkebolehan dalam bahasa Arab. Justeru, penterjemah berperanan sebagai juru bahasa untuk menyampaikan perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w. kepada masyarakat umum non-Arab. Inilah kerahiman dan keadilan Allah yang sentiasa membuka pintu rahmat-Nya sepanjang masa dan ketika untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sekarang ini, tiba pula pusingan penterjemah-penterjemah untuk menyampaikan hadith Nabi s.a.w. kepada masyarakat umum. Satu garis panduan perlu diwujudkan dan ia merupakan satu keperluan utama dalam menghasilkan terjemahan hadith yang berkualiti bagi merealisasikan penyampaian hadith dengan cara yang terbaik.
4.ILMU AL-JARH WA AL-TA’DIL: TUMPUAN TERHADAP KETOKOHAN IMAM BUKHARI
Zulhilmi bin Mohamed Nor
Papar Abstrak
Hadis Rasulullah s.a.w. merupakan salah satu sumber perundangan Islam yang menerangkan dan memperincikan lagi agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada hambaNya. Setanding dengan ketinggian hadis Rasulullah s.a.w. ini, ulama telah mencurahkan tenaga, masa dan umur mereka di dalam memastikan hadis ini sampai kepada umat dalam keadaan yang sempurna dan terjaga. Maka wujudlah ilmu-ilmu yang diasaskan untuk memastikan kesahihan dan keutuhan hadis Rasulullah s.a.w. Salah satu daripada ilmu ini dinamakan ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil, ilmu yang membicarakan tentang kedudukan perawi-perawi hadis sama ada mereka berkelayakan untuk meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. atau pun memerlukan kepada sokongan perawi yang lain atau ditolak periwayatan mereka. Al-Imam al-Bukhari merupakan salah seorang ulama yang memiliki keupayaan tinggi dan diakui kehebatan beliau di dalam ilmu ini. Perkara ini jelas melalui kitab Sahih al-Bukhari yang memerlukan kepada perlaksanaan ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil di dalam memilih hadis-hadis Rasulullah s.a.w. juga melalui kitabnya al-Tarikh al-Kabir dan al-Tarikh al-Saghir. Kajian ini akan mengupas berkenaan ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil dari sudut takrifan, sejarah kemunculan ilmu ini, kaedah-kaedah al-Jarh wa al-Ta’dil, lafaz-lafaznya serta kupasan berkaitan dengan ketokohan al-Imam al-Bukhari di dalam ilmu ini dengan melihat kepada pandangan ulama-ulama hadis yang lain, lafaz-lafaznya dan karyanya iaitu kitab al-Tarikh al-Kabir. Kajian ini menggunakan kaedah perpustakaan dengan mengumpul maklumat daripada kitab-kitab Ulum al-Hadith serta analisa pandangan ulama berkaitan dengannya. Diharapkan kajian ini dapat menyingkap kepada masyarakat tentang hakikat dan kepentingan ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil dan keilmuan al-Imam al-Bukhari di dalamnya.
Versi Arab e-Jurnal Ini Seperti di bawah (The Arabic Version of the Journal Contents are below):
- أساليب تربية الطفل بالحكمة في ضوء السنة النبوية لنور ناجحان بنت جعفر وحالم تاموري
- الأدب النبوي مزاياه وخصائصه للدكتور سيد أحمد الله بختياري
- الأمير صديق حسن خان البخاري القنوجي وإسهامه في الحديث النبوي لسيد عبد الماجد الغوري
- المسند الصحيح للإمام مسلم بن الحجاج وشروحه دراسة منهجية لخديجة بنت سيد ممتاز الدين
- النظرية التحويلية التوليدية وتطبيقها في نصوص السنة النبوية للدكتور أحمد قاسم كسار
- علم الحديث بين أهل السنة والشيعة للدكتور عبد الله محمد الحسبان